Welcome to My Website

Semua tulisan di dalam weblog yang diambil untuk paparan di mana-mana medium sama bercetak atau secara maya, hendaklah disertakan sekali pautan kepada weblog ini.

Tidak Menentu

Ditulis oleh kawakib_duriyah Khamis, Jun 21, 2007

Kadang-kadang kita terasa jiwa tidak menentu bukan kerana kerja yang bertambun atau persekitaran yang haru-biru, tetapi kerana jiwa tidak tenteram, menjadikan fokus hati dan rohani kita pada Tuhan tidak konsisten.

Bila terkenangkan hidup yang lalu, tenang, ceria dan sentosa, membuatkan kita terasa cemburu dengan kehidupan yang lalu. Tetapi sedarkah kita bahawa hidup yang lalu itu adalah hidup kita juga. Bagaimana boleh hidup yang lalu itu menjadi bahagia. Adakah kerana mendapat kawan-kawan yang baik atau persekitaran yang sejahtera.

Setiap kali saya merenung ketidaktentuan ini, ia hanya berpunca pada diri yang tidak 'bersahabat' dengan Tuhan. Siapa Tuhan? Dialah yang mengaturkan hidup kita ini, satu persatu. Dialah memberi kita pilihan untuk ke kanan atau ke kiri, Dia sudah tahu apa pilihan kita dan Dia tidak memaksa kita kerana akal yang dianugerahi-Nya kepada kita.

Ketidaktentuan yang kita alami, kadang kala memberi kita makna bahawa hidup kita ini memang untuk diuji sejauh mana keberkesanan akal kita membawa makna agama yang kita anut ini. Beratus ribu patah perkataan yang kita baca di setiap helaian buku, artikel, laporan, majalah, kitab, nota, minit mesyuarat, tesis, disertasi, surat khabar, papan tanda dan segalanya. Namun kita masih belum dapat mengawal kotak jasad yang bergerak bersama akal, budi dan jiwa kepada Tuhannya.

Betapa kasihnya Tuhan memberi segala kemudahan respirasi, perkumuhan, metabolisma, antibodi badan untuk melancarkan segala gerak hidup kita, tetapi kita masih belum dapat membawa diri menghadap-Nya setiap hari.

Kerut dahi setiap hari memberi erti keresahan hidup selama ini. Kepala dipicit, leher diurut agar lerailah sementara gelisah yang melanda. Tetapi itu tidak berpada jika tidak dibawa dengan semangat, kerahan jasad, jiwa, rohani, akal dan budi untuk bersiap sedia untuk melanda segala apa yang menghalang kebahagiaan ini.

Moga dipermudahkan segalanya...